'Ada jurutera guna gelaran Ir walaupun tak layak'. Pengerusi BEM kongsi tatacara untuk memiliki title Ir.
MALAYSIA kini berada pada landasan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) selaras ke arah negara maju. Antara ciri-ciri negara maju selain peningkatan taraf ekonomi, sosial, politik dan teknologi adalah kehebatan pembangunan fizikal seperti bangunan pencakar langit, jambatan, lapangan terbang dan lebuh raya.
Di sinilah terletaknya peranan penting profesional teknikal seperti jurutera, arkitek, juruukur bangunan, juruukur tanah, juruukur bahan, ahli geologi, teknologis dan juruteknik untuk menghasilkan binaan yang bukan saja gah, malah terbukti selamat digunakan.
Selain itu, kemajuan acuan negara perlu dipastikan turut tidak memberikan kesan kepada alam sekitar supaya masyarakat di negara bertuah ini dapat menghirup udara sihat dan bebas bencana akibat tangan manusia seperti banjir kilat akibat pembangunan melampau.
Ini merupakan perkongsian yang Media Harian Metro, Wartawan AMIR ABD HAMID bersama jurukamera MUHAMMAD SAIFUL ISKANDAR ISMAIL dan jurugambar SUPIAN AHMAD menemu bual Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md Taha untuk menjawab beberapa persoalan mengenai jurutera dan kejuruteraan dalam aspek pembangunan negara.
Apa kriteria, kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk menjadi jurutera bertauliah profesional?
Ijazah sarjana muda kejuruteraan sama ada sivil, mekanikal, alam sekitar, elektronik dan sebagainya serta berdaftar dengan BEM. Jika mahu meningkatkan tahap menjadi jurutera profesional dengan gelaran Ir pula, disyaratkan seseorang itu perlu menduduki peperiksaan, hantar satu reka bentuk kejuruteraan dan perlu mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum menduduki peperiksaan berkenaan.
Antaranya peperiksaan itu menilai secara bertulis soalan mengenai Kod Amalan Tatalaku sebagai satu keperluan dalam profesion jurutera selain soalan teknikal. Sekiranya lulus maka dia akan diberi gelaran prefix Ir yang kita panggil sebagai jurutera profesional.
Tanpa Ir, tak boleh tandatangan atau melakukan pengesahan sebarang lukisan pelan. Jurutera yang menandatangani dokumen itu akan bertanggungjawab sekiranya apa-apa berlaku ke atas projek seperti bangunan atau jambatan runtuh.
Apakah terdapat kes jurutera profesional yang disenarai hitam?
Pihak BEM memang mengesan beberapa kesalahan dilakukan oleh jurutera profesional termasuk mereka yang mengamalkan malpractice iaitu melanggar atau melakukan praktis luar normal kejuruteraan. Ada juga penipuan guna pakai nama seseorang jurutera profesional. Ikut rekod kita mempunyai 69 kes dari 1998 sampai sekarang. Kes ini turut membabitkan tindakan pelucutan kelayakan profesional atau kita gantung lesennya. Sekiranya sabit kesalahan hukumannya dalam bentuk penjara dan ia perlu melalui proses mahkamah.
Ada dapat kesan jurutera palsu dalam kes jurutera profesional disenarai hitam?
Tiada. Tetapi banyak kes kita terima mengenai jurutera yang mengaku profesional bergelar Ir walaupun sebenarnya tidak mendapat kelayakan itu. Itu kita ambil tindakan. Mengikut Akta Jurutera 1967, seseorang jurutera tidak dibenarkan membuat amalan atau praktis tanpa kelayakan ataupun gelaran Ir.
Peranan utama BEM?
Kami berfungsi sebagai badan berkanun yang ditubuhkan pada 1972 untuk menaikkan martabat bidang kejuruteraan serta mereka yang terbabit dalam bidang ini. BEM terletak di bawah pentadbiran Kementerian Kerja Raya dan ditubuhkan mengikut Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
BEM turut bertanggungjawab untuk penyelenggaraan permohonan pendaftaran jurutera siswazah dan jurutera profesional. BEM turut berfungsi sebagai penentu serta pengawal tata kelakuan dan kesusilaan bagi bidang kejuruteraan di Malaysia.
Secara ringkas bagaimana jurutera dan kejuruteraan penting dalam pembangunan sesebuah negara?
Jurutera sudah dilatih ataupun diajar bagaimana merekabentuk sesebuah infrastruktur atau pun bangunan, jalan, jeti, pelabuhan serta sebagainya.
Semua ini adalah aset atau pun ciri-ciri pembangunan negara dan sudah semestinya kejuruteraan itu memerlukan kecekapan apabila membabitkan nyawa.
Selepas sesuatu projek atau infrastruktur siap ia dibenarkan beroperasi dan semasa operasi itulah membabitkan lebih banyak nyawa berbanding semasa pembinaan. Dengan adanya kelayakan profesional secara tak langsung sudah ada jaminan ke atas sesuatu reka bentuk seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna atau pun rakyat ke atas jurutera atau pun rekabentuk itu.
Sering diperkatakan hari ini, reka bentuk atau konsep reka bentuk boleh dibuat arkitek, tetapi yang memastikan sama ada lakaran artis itu boleh dilaksanakan dengan selamat atau tidak adalah tanggungjawab berat seorang jurutera.
Dalam erti kata mudah, berbanding seorang doktor risikonya terhadap nyawa seseorang pesakitnya saja namun jurutera membabitkan semua nyawa pengguna untuk binaan dihasilkannya. Kita sasarkan nisbah seorang jurutera bagi 100 penduduk dapat direalisasikan dalam tempoh enam tahun akan datang ketika Malaysia berkembang sebagai negara berteknologi tinggi.
Ketika ini berapa ramai jumlah jurutera berdaftar dan bertauliah dalam Malaysia?
Sehingga kini, mengikut rekod BEM, kita mempunyai seramai 143,556 jurutera berdaftar membabitkan jurutera awam, mekanikal, elektrikal, elektronik, alam sekitar dan sebagainya. Daripada jumlah itu, seramai 19,120 jurutera yang bergelar Ir iaitu bermaksud sebanyak 13.3 peratus saja.
Graduan kejuruteraan tidak berdaftar, apa yang berlaku sebenarnya?
Saya boleh anggap ada antara mereka tidak tahu. Walaupun kita sudah membuat kenyataan media dari semasa ke semasa. Lazimnya mereka berkhidmat di jabatan kerajaan pada hari pertama kerja sudah berdaftar. Di pihak BEM perkara ini diuar-uarkan di laman sesawang kami. Sejak 2015 jurutera luar negara juga wajib berdaftar dengan BEM sebagai langkah kawalan, pemantauan dan memerhati bagaimana mereka melakukan praktis di negara kita.
Kes graduan tidak berdaftar, tetapi terlepas pula untuk bekerja atau praktis, itu bagaimana?
Kami dapati kebanyakan mereka yang tidak berdaftar adalah yang tidak berkhidmat dengan kerajaan.
Dalam hal ini pihak BEM akan mengambil tindakan selepas aduan diterima dan siasatan dilakukan. Atau pun sekiranya ada sesuatu kemalangan berlaku, ia menjadi satu kesalahan yang besar. Kesalahan juga akan ditanggung majikan yang melantik seorang jurutera yang tidak berdaftar.
Datuk Seri sebut tindakan akan diambil terhadap jurutera tidak berdaftar. Adakah wajib kepada jurutera untuk berdaftar bagi melayakkan mereka meluluskan sesuatu projek pembangunan?
Mandatori sebagai jurutera graduan. Sekiranya terbukti ada kesalahan oleh jurutera berkenaan, denda tidak lebih RM50,000 atau penjara. Pendaftaran sebagai seorang jurutera graduan hanya RM50 seumur hidup. Tetapi selepas mereka menjadi seorang jurutera profesional gelaran Ir, mereka perlu membayar yuran tahunan berdasarkan gred. Ini biasa dalam profesyen kedoktoran juga.
Kenapa tidak gunakan sistem graduan kejuruteraan secara automatik didaftarkan?
Kita sudah memeterai memorandum persefahaman (MoU) tahun lalu dengan 19 universiti awam dan swasta. Kini, soalan sekiranya tak tahu mengenai pendaftaran ini sudah tidak sepatutnya timbul lagi. Kita sudah kolaborasi untuk pendaftaran atas talian dengan pihak universiti dan tak perlu hantar sijil.
Pengesahan pendaftar sesebuah universiti itu sudah memadai. Kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada universiti. Berdasarkan anggaran sekarang, kira-kira 2,000 graduan kejuruteraan dilahirkan setahun dan kita harap selepas ini tiada lagi graduan terlepas pandang isu ini.
Mengenai banjir kilat di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur, ada juga pertikaikan pembinaan mega seperti transit aliran massa (MRT) dikatakan menyumbang kepada keadaan ini. Apa langkah yang diambil?
Saya tak mahu jawab khusus kepada MRT. Saya cuba jawab secara am bersandarkan jawatan saya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam kita menangani isu sebegini, langkah terbaik adalah mengatasi sesuatu isu itu di punca. Langkah tebatan perlu sediakan di kawasan pembinaan iaitu atasi dulu di punca sebelum di pertengahan dan penerima.
Apapun, kita mesti atasi sesuatu isu secara menyeluruh dan tengok impak sesuatu projek secara menyeluruh bukan saja di kawasan punca. Kajian impak alam sekitar wajib dilaksanakan untuk sesuatu projek termasuk mengkaji pelan topografi dan geografi contohnya untuk menilai sama ada tanah perlu ditambak atau dipotong. Tebatan di hiliran adalah paling tidak bagus dan amat mahal.
Dalam sesuatu pembangunan kawasan atau jajaran, proses kebenaran merancang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mensyaratkan untuk hantar beberapa dokumen termasuk borang Pelan Kawalan Lumpur dan Hakisan (ESCP). Lazimnya kolam pemendapan perlu diwujudkan selain meningkatkan sistem saliran. Sekarang pembinaan di hilir kebanyakannya sudah padat, mahu tak mahu pembinaan kena meningkat di hulu.
Untuk membuat pembinaan di hulu, secara tak langsung kita mesti wajibkan sistem saliran dipertingkatkan di hilir untuk mengelakkan banjir yang kita panggil banjir kilat atau banjir setempat.